MELAKA: Seorang bilal warga emas di sini diperintah membela diri atas pertuduhan
menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seorang anak muridnya di
sebuah sekolah rendah agama, tiga tahun lalu.
Majistret Muzila Mohamad Arsad ketika membacakan penghakiman bertulisnya,
berkata selepas membaca dan mendengar keterangan semua saksi pendakwaan,
meneliti hujah lisan peguam dan hujahan bertulis pegawai pendakwa, mahkamah
mendapati pihak pendakwaan mengasaskan satu kes prima facie terhadap tertuduh.
Beliau berkata, justeru mahkamah tiada pilihan melainkan memerintahkan tertuduh,
Ismail Ali, 63, membela diri terhadap pertuduhan.
Mahkamah menetapkan perbicaraan membela diri bermula pada 23 Jun depan selepas
peguam Mohd Hilmy Samsudin memberitahu akan berbincang dengan anak guamnya
pilihan sama ada memberi keterangan dari kandang tertuduh, memberi keterangan
bersumpah atau berdiam diri.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhather Mohd Kudus, menyebut
bagi Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron.
Berdasarkan pertuduhan, Ismail didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat
mencabul kehormatan seorang anak muridnya yang berusia lapan tahun ketika
kejadian iaitu memegang kemaluan mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik darjah sebuah Sekolah Rendah
Agama Kampung Musai pada 14 Februari 2006, kira-kira jam 2.30 petang hingga 6
petang.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh membawa
hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.
Sepanjang perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi termasuk
mangsa memberi keterangan sebelum menutup kes pada 20 Mac lalu dan semalam
ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment