28 April 2011

Messi pastikan Real menderita

Penyerang Barcelona, Lionel Messi meraikan golnya ketika perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-juara Eropah menentang Real Madrid pada 27 April 2011.

MADRID, (AFP) - Keajaiban Lionel Messi membantu Barcelona mencatat kemenangan penting 2-0 ke atas Real Madrid dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-juara Eropah di Santiago Bernabeu.

Dua gol lewat permainan pemain terbaik dunia itu memastikan bekalan selesa buat Barca, yang akan melayan kunjungan pasukan kendalian Jose Mourinho itu minggu depan dalam aksi timbal balik yang bakal menentukan pasukan yang akan ke Wembley untuk perlawanan akhir.

Real bernasib malang kerana terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain setelah Pepe diperintah keluar padang setelah sejam perlawanan berlangsung kerana terjahan keras yang dilakukan ke atas Dani Alves. Pepe menyertai Sergio Ramos yang turut digantung untuk perlawanan minggu hadapan.

Barca nyata menguasai permainan dengan hampir tiga perempat penguasaan bola dimiliki oleh pasukan pelawat dan dengan ketiadaan Pepe, mereka bingkas menyerang lalu mendapat gol pertama hasil kebijaksanaan Messi menyudahkan hantaran lintang Ibrahim Afellay pada minit ke-76.

Gol kedua Messi nyata terlalu unggul untuk diatasi oleh pertahanan Real apabila bintang Argentina itu menggelecek beberapa orang pemain tuan rumah, yang seakan-akan terpaku dengan larian dan kepantasan Messi, lalu menewaskan penjaga gol Real, Iker Casillas.

Dalam perlawanan yang penuh ketegangan itu, pengurus Real, Jose Mourinho turut diarah ke tempat duduk penonton setelah membantah keras keputusan pengadil ke atas Pepe manakala penjaga gol simpanan Barcelona, Jose Manuel Pinto turut dieprintah keluar daripada bangku simpanan kerana gagal mengawal perasaan.

Real kini berdepan tugas sukar di Nou Camp minggu depan, gelanggang di mana mereka dibelasah 5-0 oleh Barcelona dalam aksi La Liga pada awal musim ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews