19 July 2009

Ford Focus Ghia 2.0


SUATU ketika dulu, jentera Ford seperti model Laser dan Telstar sangat popular sehinggakan ia mudah kelihatan di jalan raya.

SUATU ketika dulu, jentera Ford seperti model Laser dan Telstar sangat popular sehinggakan ia mudah kelihatan di jalan raya.

Kini, jenama Ford kembali lagi apabila pengedar dan pengimport jenama berkenaan, AutoConnexion Sdn Bhd melancarkan model sedan terbarunya, Focus Ghia Sedan.


Peluang memandu uji jentera berkenaan memberi pengalaman baru kepada penulis terutama susun atur dan ruang dalamannya yang menampilkan identiti asli kereta buatan Eropah.

Model pertama yang diperkenalkan pada 2005 itu kini dipertingkatkan lagi dengan beberapa ciri luaran terbaru menjadikannya lebih segar dan berdaya saing.

Ford Focus Ghia sedan ini mengutamakan keselesaan dan keluasan ruang bagasi maksimum. Oleh itu, tidak hairanlah Ford mensasarkan kepada golongan berkeluarga.

Bagi mereka yang masih bujang, pastinya model Focus Sport Hatchback menjadi pilihan.

Dibekalkan dengan enjin Duratec 1-4 DOHC berkuasa 2.0L, model terbaru ini mempunyai imbangan kuasa dan berat yang boleh dikatakan stabil.

Ini kerana, Ghia sedan mempunyai panjang 4,337 milimeter (mm) dan selebar 2,019 mm, sesuai untuk lima penumpang dewasa menempuh perjalanan jauh lebih selesa.

Selain rekaan gril bersama lampu hadapan terbaru, Ghia sedan turut disuntik elemen keselamatan terkini seperti kerangka lebih keras dan jitu.

Ruang dalamannya dihiasi dengan latar belakang warna krim (biege) sebagai latar. Papan pemuka memperlihatkan ciri Eropah dengan ciri berkotak dengan kemasan kayu.

Konsol tengahnya pula dipadankan dengan beberapa butang dan tombol untuk mengendalikan sistem audio dan aksesori lainnya.

Memandu kereta ini sangat mudah dan santai. Penulis tidak perlu bimbang mengenai kuasanya yang sentiasa bersedia ketika mengharungi bukit atau memecut di jalan lurus.

Ketahanan enjin Ford sudah terbukti dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang diraih saban tahun.

Pedal minyak cukup responsif dan enjin sentiasa memberi tindak balas yang diperlukan sementara stereng berkuasa hidrolik elektrik (EHPAS) memastikan berat dan kelajuan kenderaan diseimbangkan secara automatik.

Ini bermakna, semakin laju kenderaan ini dipandu, stereng terasa lebih berat dan stabil.

Penumpang belakang juga dibekalkan dengan unit penyaman udara yang terletak di ruang belakang pada konsol tengah, menjadikan hawa dingin sampai ke kerusi baris kedua lebih cepat.

Model ini juga dibekalkan sistem pemain cakera padat dengan enam penukar terbina dan dihubungkan melalui enam pembesar suara berkualiti.

Satu keistimewaan atau unik bagi model terbaru ini adalah cara membuka bonet hadapan.

Kebiasaan kereta mempunyai tuil atau butang khas di bahagian dalam untuk membuka bonet hadapan tetapi model ini memerlukan pemandu keluar ke bahagian hadapan, pusing dan alihkan logo Ford pada gril.

Masukkan kunci pada slot berkenaan pemandu perlu membukanya secara manual.

Sistem suspensi topang MacPherson pada bahagian hadapan dan Control Blade Multi-Link dengan Anti Roll Bar menjadikan pemanduan lebih santai dan selesa.

Malah, sistem imbangan juga beroperasi cemerlang mengawal kestabilan kereta ketika mengambil selekoh.

Ruang menyimpan barangan pada but belakang cukup luas untuk memuatkan empat beg besar dan barang lain.

Secara keseluruhannya, Ford Focus Ghia sesuai sebagai kenderaan keluarga yang lengkap daripada segenap aspek keperluan.

Berharga RM111,888 dan diimport sepenuhnya, model ini berbaloi untuk dimiliki.

SPESIFIKASI

Ford Focus Ghia 2.0

Enjin: 1-4, DOHC, 1,999cc

Kuasa maksimum: 143hp pada 6,000rpm

Tork maksimum: 185Nm pada 4,500rpm

Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan Sequential Sport Shift

Ciri-ciri keselamatan: ABS, beg udara, tali keledar ELR

Harga: RM111,888 (tanpa insurans)

Tayar yang dicadangkan: SportContact-1 205/55R16 91V

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews