KOTA BHARU: Orang terkaya di Malaysia, Tan Sri Robert Kuok, dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah AS$10 bilion (RM35 bilion). Bagaimanapun, seorang suri rumah mendakwa suaminya mempunyai wang berjumlah RM160 bilion yang disimpan dalam akaun sebuah bank tempatan.
Sehubungan itu, Biro Pengaduan Awam (BPA) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung aduan wanita terbabit.
Aduan itu antara kes paling menarik diterima agensi terbabit tahun ini menyebabkan BPA terpaksa menyiasat kesahihan dakwaan itu termasuk mengadakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah, berkata pihaknya tidak memandang ringan aduan terbabit dan siasatan terperinci masih dijalankan.
Ini antara kes paling menarik yang diterima BPA tahun ini apabila seorang wanita mendakwa suaminya yang meninggal dunia akibat serangan jantung memiliki wang simpanan berjumlah RM160 bilion.
Kita menyiasat kes ini untuk mengetahui sejauh mana dakwaan suri rumah itu sama ada benar atau sebaliknya, katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Seminar Perniagaan Kecil, Agro Tani dan Francais di Dewan Kuil Siva Subramaniam Alayam di sini, semalam.
Menurutnya, BPA sudah mengadakan pertemuan dengan bank berkenaan melalui BNM untuk mengetahui status wang didakwa disimpan individu terbabit dalam akaun peribadinya.
Kita juga akan mengadakan satu mesyuarat dalam tempoh dua minggu akan datang untuk memperincikan siasatan.
Saya pun terkejut mana dia (si mati) dapat duit sebanyak itu. Saya sedang siasat dan ingin tahu dia jutawan sebenar atau tidak, tetapi jika betul, dia orang terkaya di Malaysia, katanya.
Beliau berkata, BPA menerima lebih 500 aduan awam setiap minggu melalui e-mel, panggilan telefon, SMS serta datang sendiri secara bersemuka.
Dalam seminggu lebih 500 aduan diterima, malah setiap Selasa saya adakan hari klinikal turun padang di Sentul. Di situ 300 hingga 400 orang datang bersemuka. Saya bersama agensi kerajaan lain mendengar aduan dan cuba menyelesaikannya, katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment