22 July 2009

Pembantu kedai elektrik dipenjara, sebat kerana miliki pistol

SHAH ALAM: Seorang pembantu kedai elektrik dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah mengaku bersalah memiliki sepucuk pistol, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa memerintahkan tertuduh, Liew Teng Kong, 41, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 20 Jan 2005.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata mahkamah menjatuhkan hukuman itu setelah mengambil kira peningkatan kadar jenayah di negara sejak kebelakangan ini dan pengakuan bersalah tertuduh selepas mahkamah meminda pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Liew mengaku bersalah memiliki pistol jenis Colt .45 di hadapan rumah nombor 40, PP11, Taman Pinggiran Putera, Seri Kembangan, dekat sini, pada pukul 3 pagi, 20 Jan 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali.

Liew sebelum ini dibicarakan bagi tuduhan itu dan selepas 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, dia menukar pengakuannya pada 21 Julai lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Ikmal Hisam Idris.

Sebelum ini, mahkamah yang sama melepas dan membebaskan Liew daripada tuduhan memiliki 71.19 gram ketamin, 3.38 gram heroin, 1.36 gram monoacetymorphines dan 36.93 gram methamphetamine, tanpa dipanggil membela diri.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh. BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews