KUALA LUMPUR: Michael Owen muncul wira apabila membantu pasukan Manchester United menewaskan Malaysia 3-2 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Manchester, juara Liga Perdana Inggeris (EPL), menghasilkan dua gol pada separuh masa pertama dan jaringan Owen lima minit sebelum wisel penamat telah mengamatkan stadium yang dipenuhi oleh 85,000 penonton, kebanyakannya peminat berbaju merah pasukan 'Red Devils' itu.
Bagaimanapun, pasukan pelawat itu tidak diberi kemenangan mudah apabila Mohd Amri Yahyah menewaskan penjaga gol utama Manchester, Edwin van der Saar, dua kali pada minit ke-43 dan 52.
Terdahulu itu, Manchester mendahului jaringan seawal minit kelapan apabila Wayne Rooney menyempurnakan bola yang terlepas dari genggaman penjaga gol negara Mohd Farizal Marlias hasil tendangan lambungan Dimitar Berbatov.
Biarpun dianggap kerdil, Malaysia melancarkan serangan untuk memburu gol penyamaan dan langkah itu membawa padah di bahagian benteng pertahanan apabila Rooney menghantar bola kepada Nani untuk melakukan jaringan pada minit ke27.
Berikutan kedudukan terikat 2-2, pengurus pasukan Manchester Sir Alex Ferguson melakukan pertukaran pemain termasuk membawa masuk pemain baru pasukan, Owen pada minit ke-60.
Owen, yang berpindah dari Newcastle pada 3 Julai lalu, membuktikan bahawa beliau masih tidak hilang sentuhan jaringan apabila melepasi kawalan pemain lawan untuk menjaringkan gol kemenangan serta menghancurkan hati peminat tegar pasukan negara bimbingan K. Rajagobal.
Persembahan bertenaga kali ini menerima pujian selepas kali terakhir Malaysia tewas 0-6 kepada Manchester United sebelum ini.
Ini adalah kunjungan kali keempat pasukan itu ke Malaysia selepas tahun 1991, 1995 dan 2001.
Kuala Lumpur merupakan persinggahan pertama 'Red Devils' dalam Jelajah Asia 2009 pasukan dari England itu dan dijadual menentang pilihan Indonesia di Jakarta pada Isnin ini, Korea Selatan pada 24 Julai dan dua hari kemudian menentang pasukan China.
Bagaimanapun, Manchester United membatalkan persinggahan mereka di Jakarta berikutan insiden letupan bom di dua buah hotel mewah di ibu negara Indonesia itu semalam. BERNAMA
0 comments:
Post a Comment