14 July 2009

Cikgu Heliza kini sibuk


Berusia 23 tahun, gadis asal Terengganu ini ditugaskan mengajar tiga mata pelajaran iaitu Biologi, Sains dan Pendidikan Moral kepada pelajar tingkatan tiga dan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (P), Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Heliza berkata, dia akan menjalani sesi latihan sebagai guru di sekolah itu selama tiga bulan. Malah, dalam tempoh berkenaan dia tidak boleh aktif berlakon walaupun mengakui menerima beberapa tawaran. Katanya, buat masa ini dia terlalu sibuk mengajar.

"Saya memang tidak dapat buat (berlakon), jadi lebih baik ditolak saja. Sekarang ini pun, tumpuan saya lebih kepada mengajar kerana ia bukan kerja mudah. Ia perlu buat pelbagai persediaan terutama bagi mata pelajaran Pendidikan Moral.

"Maklumlah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia saja. Apabila mengadakan latihan mengajar di sekolah, saya diberi mata pelajaran Pendidikan Moral.

"Sebelum mengajar orang, saya kenalah tahu dulu. Apapun, pengalaman sebagai guru sangat menyeronokkan. Bahkan, kehadiran saya pun diterima baik pelajar dan kakitangan sekolah. Lebih menggembirakan, apabila mereka tahu saya pelakon," katanya.

Menurut Heliza lagi, di sebalik debaran menjadi guru, dia amat gembira apabila pelajarnya bukan sekadar memberi salam, tetapi turut mencium tangan. Katanya, kalau dilihat memang geli hati, namun itu adalah cara mereka (pelajar) menghormati guru.

Akui Heliza, dia tidak kekok mengajar di sekolah perempuan kerana sebelum ini belajar di Convent St Ursula, Tawau, Sabah. Justeru, semestinya Heliza mampu menyesuaikan diri berdasarkan apa yang pernah dilaluinya dulu.

"Apapun, yang memenatkan saya apabila perlu membuat formula untuk pelajar. Ternyata, ia bukan kerja senang kerana menerusi setiap formula itu, mereka akan mengingat dengan mudah. Justeru, terus terang dikatakan tidur harian saya tidak cukup.

"Setiap hari, saya hanya tidur tiga jam saja iaitu dari jam 2 hingga 5 pagi. Tidak dinafikan, masa rehat itu kurang, tetapi apa yang penting saya puas. Cuma, setakat ini saya tidak tahu sama ada terus mengajar atau menyambung pengajian lagi.

"Bukan itu saja, saya juga tidak boleh meninggalkan aktiviti seni sesuka hati. Ini kerana saya meminati seni dan bersyukur apabila filem pertama mendapat sambutan memberangsangkan. Malah, saya juga ada berlakon satu telefilem, Doa Ibu," katanya.

Membawa peranan sebagai penjual sayur, Heliza berkata telefilem itu akan menemui penonton saluran Astro pada Ramadan ini. Malah, akuinya dia turut bergandingan dengan pelakon Jehan Miskin yang mengetengahkan jalan cerita daripada seorang nakal kepada baik.

Menyentuh soal pembikinan single baru pula, kata Heliza perancangan ke arah itu memang ada. Namun, buat masa ini dia tidak boleh membuat proses rakaman lagu. Oleh itu, setakat ini katanya dia hanya dikenali menerusi Doa Dalam Lagu yang dinyanyikan dengan Mawi.

"Bagaimanapun, saya akan tetap aktif dengan seni. Namun, bergantung pada keputusan penilaian praktikal itu nanti. Jika bagus, saya mungkin akan terus belajar atau menjadi guru. Tetapi, jika sebaliknya pula saya mempunyai perancangan lain," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews