19 July 2009

4 GRO asing cedera ketika melarikan diri

PULAU PINANG: Empat pelayan pelanggan (GRO) asing yang cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan di sebuah pusat hiburan karaoke di Jalan Gurney di sini cedera selepas terjatuh dari laluan rahsia dalam tandas di tingkat satu pusat berkenaan malam tadi. Mereka adalah antara sekumpulan GRO di pusat karaoke itu yang cuba melarikan diri melalui satu tingkap kecil yang terdapat di dalam tandas di bahagian atas pusat itu kira-kira 10.30 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Wan Abdullah Tunku Said berkata mereka dipercayai tolak-menolak sesama mereka sehingga menyebabkan dua GRO Vietnam dan dua GRO China terjatuh.

"Tiga daripada mereka sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang kerana masing-masing mengalami kecederaan tumit retak, siku kiri patah dan kecederaan di bahagian kepala, manakala seorang lagi dirawat sebagai pesakit luar selepas hanya mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Abdullah berkata selain mereka, polis turut menahan 12 lagi wanita asing yang bekerja sebagai GRO di situ.

Katanya kesemua mereka yang ditahan termasuk yang sedang menerima rawatan terdiri daripada lima wanita warga Vietnam dan 11 warga China berusia antara 20 dan 30 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang merupakan penjaga pusat karaoke berkenaan dan enam lelaki lain iaitu pelanggan, bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pusat karaoke berkenaan tidak mempunyai lesen manakala GRO yang ditahan itu telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan menjalankan kegiatan tidak bermoral.BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews