24 June 2009
Umie Aida Dirisik Datuk
KUALA LUMPUR: Pengarah, Fatimah Rahmat atau Erma Fatima mengesahkan adiknya juga
pelakon Umie Aida dirisik lelaki bergelar Datuk, sudah hampir 15 tahun menduda dan mempunyai dua cahaya mata.
Erma sewaktu dihubungi di sini semalam, turut mengakui majlis risik hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Klang.
"Ingin saya tegaskan di sini majlis diadakan hanyalah adat merisik dan ia tidak
perlulah diperbesar-besarkan. Mereka belum lagi bernikah.
"Saya sendiri tidak percaya dengan risik dan pertunangan. Lainlah sekiranya yang
diadakan ini majlis pernikahan," katanya.
Jelasnya, majlis merisik hanya membabitkan pihak keluarga sebelah lelaki yang
bertanyakan sama ada Umie sudah berpunya atau tidak dan tidak lebih daripada
itu.
Ia bermakna apa yang dilakukan ini (merisik) belum ada pengesahannya.
"Saya berkata begini kerana saya kenal benar dengan Umie. Dia tidak boleh ada
timbul perkara kurang menyenangkan dirinya (sepanjang tempoh merisik).
"Perkara ini turut saya perjelaskan kepada keluarga pihak lelaki. Penjelasan itu
harus dibuat kerana tidak mahu mereka meletak harapan tinggi selepas mengikat
Umie dengan majlis risik yang diadakan.
"Saya bukan mendoakan perkara tidak baik, sebaliknya mahu ia dijadikan
peringatan agar kedua-dua belah pihak faham bahawa majlis yang diadakan itu
bukan bermakna ikatan dijalin sudah kuat," katanya.
Bagaimanapun, Erma akui perkenalan Umie dan lelaki bergelar Datuk itu berlaku
dalam masa singkat, apatah lagi pengarah filem Embun itu pernah berurusan
membabitkan perniagaan dengan lelaki terbabit.
Tambah Erma yang mewakili keluarganya, apa yang dikatakan ini tidak bermaksud
dia takut atau gembira dengan majlis yang sudah dilangsungkan.
"Sudah menjadi adat dalam keluarga, sekiranya seorang daripada kami sudah mahu
berkahwin dengan lelaki pilihan, kalau kami tidak suka sekalipun, kami tetap
akan menerimanya.
"Bagi kami yang mahu berkahwin dan membina hidup berumah tangga adalah mereka.
Melayari hidup bersama dianggap peribadi. Jadi mereka harus bijak untuk
menangani masa depan bakal dijalani," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment