22 June 2009

Chong Wei, beregu wanita juara

JAKARTA: Datuk LEE Chong Wei membuktikan dia tetap pemain nombor satu dunia
apabila muncul juara kejuaraan badminton Siri Super Terbuka Indonesia, petang
tadi, mengiringi kemenangan bermakna beregu wanita negara, Chin Eei Hui-Wong Pei
Tty.

Chong Wei yang tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu,
bangkit penuh bergaya bagi mengulangi kejayaan pada 2007 untuk bergelar juara
Terbuka Indonesia, menewaskan pemain tempatan, Taufik Hidayat, 21-9, 21-14.

Taufik yang memburu kemenangan ketujuh kejohanan itu buat mengatasi rekod rakan
senegara, Hardiwiranata, gagal memberi tentangan bermakna kepada Chong Wei yang
nyata bermain positif dan menguasai permainan.

"Saya memang memburu kemenangan di sini dan datang dengan harapan mampu bermain
baik bagi menebus kekecewaan di Singapura," kata Chong Wei selepas menerima
piala dan hadiah wang tunai AS$ 18,500 (RM 64,750).

Kemenangan ketiga Chong Wei selepas Terbuka Malaysia dan Terbuka Switzerland
itu, mengiringi kejayaan kombinasi Eei Hui-Pei Tty yang juga berada di ranking
pertama dunia apabila mudah menundukkan beregu China, Cheng Shu-Zhao Yunlie,
21-16, 21-16.

Kejayaan ini adalah yang pertama buat beregu ini selepas muncul juara beregu
wanita Siri Masters Akhir di Kota Kinabalu, enam bulan lalu dan super siri kedua
mereka selepas Terbuka Denmark tahun lalu.

Sementara itu, pemain India, Saina Nehwal, 19 mencuri tumpuan apabila bekas
juara remaja dunia itu, muncul juara perseorangan wanita - kemenangan pertama
buat wanita dari India - menewaskan pemain China, Wang Lin 12-21, 21-18, 21-9.

Dalam acara beregu lelaki kombinasi China, Chai Yun-Fu Haifeng yang menewaskan
beregu negara, Koo Kien Kiat-Tan Beng Heong di separuh akhir kelmarin, tewas
kepada pemain Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae 21-15, 21-18.

China hanya meraih kemenangan dalam acara beregu campuran selepas gandingan
Zheng Bo-Ma Jin menewaskan beregu Korea, Lee Yong Dae - Lee Hyo Jung, 21-17,
8-21, 21-16.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews