30 June 2009

Adab Walimatul Urus..

KETIKA menjelangnya musim cuti sekolah, maka satu acara yang agak sinonim dengannya adalah adanya majlis-majlis kenduri kahwin (walimatul urus).

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun alaih) Huraian

Namun perintah ini tidak bererti kita dibenarkan untuk melakukan pembaziran harta yang melampau-lampau dengan melakukan persediaan yang tidak perlu atau mengharapkan adanya “salam kerok” yang diberikan (secara terpaksa) oleh para tetamu.

Malah jangan pula sampai walimah tersebut menjadi majlis makan yang dikeji oleh Islam iaitu dengan mengkhususkan jemputan hanya untuk orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin dilupakan sebagaimana sabda Rasulullah SAW: {Dari Abi Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah. Orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.”(Muslim)}.

Oleh itu laksanakanlah walimah sekadar yang mampu, tanpa perlu merasa malu disebut atau dikata orang.

Yang penting adalah niat yang ikhlas, juga suatu kesyukuran dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Mudah-mudahan majlis yang diadakan dilimpahi berkat dan keredhaan daripada Allah S.W.T.

(Sumber dari Jabatan Kemajuan Islam)

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews