05 May 2009

Ibu curang seterika anak

KUALA LUMPUR: Seorang ibu sanggup menjadikan anak perempuannya yang berusia 12 tahun sebagai tempat melepaskan geram terhadap suami, termasuk menekap seterika panas ke anggota tubuhnya hingga melecur.

Mangsa yang menuntut di sekolah agama di Klang turut dibelasah dengan menggunakan batang penyapu bertalu-talu di kaki hingga lebam.

Sumber polis menyatakan tindakan kejam si ibu berusia 28 tahun itu disebabkan dia mengesyaki mangsa membocorkan rahsia hubungan sulitnya dengan lelaki lain kepada suaminya.

Katanya, kejadian terbabit dibongkar seorang ustazah sekolah terbabit yang sangsi terhadap kesan kecederaan teruk dialami mangsa.

Ustazah berusia 32 tahun itu mendapati kedua-dua tangan mangsa melecur kira-kira jam 3 petang Khamis lalu.

“Mangsa turut menunjukkan kesan melecur di belakang leher, lebam di paha dipercayai dipukul dengan objek keras.

“Selepas dipujuk berulang kali, mangsa yang ketakutan akhirnya membuat pendedahan memeranjatkan dengan mendakwa didera ibu kandungnya sendiri,” katanya.

Mangsa menyatakan ibunya menggunakan seterika panas untuk melecurkan kedua-dua belah tangannya selain leher.

Dia yang menjerit kesakitan akibat ditekap seterika panas tidak dipedulikan ibunya.

Selain itu, sumber itu berkata, mangsa dibelasah dan dipukul dengan batang pencuci lantai menyebabkan kakinya lebam.

Difahamkan ustazah berkenaan yang bersimpati terhadap nasib mangsa segera membawanya ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Klang.

Hasil siasatan mendapati, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu didera ibunya Selasa lalu di rumah mereka.

Mangsa memberitahu dimarahi ibunya sekitar jam 7 malam sebelum diserang dengan seterika panas.

“Siasatan juga mendapati wanita itu sering bertindak kejam terhadap mangsa selepas menuduh dia memberitahu bapa berkaitan hubungannya dengan lelaki lain.

“Perbuatan mangsa itu menyebabkan suspek kerap bergaduh dengan suaminya yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat minyak,” katanya.

Menurut sumber itu, susulan laporan berhubung kejadian itu, polis memberkas wanita berusia 28 tahun itu di rumahnya serta merampas seterika dan batang penyapu yang kerap digunakan untuk memukul mangsa.

Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas jenayah penderaan.


-- apa punya ibu la klu mcm ni...

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews