21 April 2011

Tambang Kereta Api Bukit Bendera Naik Sekali Ganda



GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- Tambang kereta api Bukit Bendera
akan dinaikkan sekali ganda iaitu sebanyak RM8 bagi orang dewasa dan
RM4 bagi kanak-kanak rakyat tempatan mulai 1 Mei ini.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Datuk Lee Kah Choon berkata,
tambang baru untuk pelancong asing pula ialah sebanyak RM30 bagi
dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.

Kadar tambang baru itu adalah disebabkan peningkatan kos operasi
kereta api jenis elektrik yang lebih moden berbanding sebelum ini yang
digerakkan dengan kabel, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Perkhidmatan kereta api itu telah ditutup lebih setahun lepas dan
kadar tambang sebelum ini ialah RM4 bagi dewasa dan RM2 bagi
kanak-kanak tanpa mengira pelancong tempatan atau asing.

Beliau berkata, bagi penduduk di Bukit Bendera, pengusaha dan pekerja
di atas bukit itu, bayaran pas bulanan dikekalkan dengan harga RM24.

Lee berkata, kos operasi bagi setiap perjalanan kereta api ialah RM500
kerana ia menggunakan elektrik dan kos itu lebih tinggi berbanding
keretapi kabel sebelum ini.

Beliau berkata, kereta api baru itu lebih laju serta menggunakan koc
buatan Switzerland yang moden dan selesa untuk penumpang dan jadual
perjalanan kereta api itu ialah setiap setengah jam mulai pukul 6.30
pagi hingga 9 malam setiap hari.

"Selepas menaik taraf, ia kini boleh membawa sehingga 50 penumpang dan
mengambil masa selama 10 minit untuk perjalanan sehala, berbanding 30
minit sebelum ini," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa aspek keselamatan kereta api berkenaan
adalah bertaraf antarabangsa.

Projek naik taraf kereta api oleh kerajaan persekutuan itu melibatkan
kos RM73 juta bagi menggantikan jenis furnikular yang digunakan sejak
1923.

Bukit Bendera ialah salah sebuah destinasi pelancongan yang menarik di
Pulau Pinang.


-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews