20 January 2011

`Keistimewaan' Diisytiharkan Menjadi Bankrap

BANKRAP, muflis; dua perkataan taboo yang sama maknanya dan digeruni oleh sesiapa sahaja di negara ini. Diiringi pula oleh mitos bahawa semua harta akan dirampas, hilang hak untuk bekerja di syarikat korporat atau kerajaan, terpaksa membanting tulang seumur hidup untuk membayar hutang - sesiapa sahaja pasti sekurang-kurangnya hampir pitam sekiranya menerima notis kebankrapan daripada pihak bank atau pemiutang.

Persepsi yang salah mengenai proses kebankrapan dan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan perintah kebankrapan itu, Jabatan Pemegang Harta (JPH) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, menyukarkan bukan sahaja JPH malah si bankrap itu sendiri.

JPH merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mentadbir dan menguruskan harta si bankrap.

Tugas JPH yang diketuai oleh seorang Pegawai Pemegang Harta (PPH), sekarang ini dijawat oleh Mokhtarudin Baki, bermula sebaik sahaja Perintah Penerimaan dan Perintah Penghakiman (PP&PP) di keluarkan oleh mahkamah. Dalam bahasa orang kebanyakan, PP&PP itu ialah perintah bankrap.

Dari sudut perundangan, Mahkamah Tinggi akan mengeluarkan PP&PP terhadap seorang si berhutang sama ada melalui petisyen pemiutang atau atas permohonan si berhutang itu sendiri.

Ia dibuat berpandukan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah Kebankrapan 1969. Dengan PP&PP, segala hal ehwal aset, tanggungan si berhutang yang sekarang dipanggil si bankrap ditadbir dan diletak hak kepada PPH untuk dikendalikan dan dihasilkan untuk diagih-agihkan kepada pemiutang yang berhak.

Pembayaran hasil pentadbiran (yang dipanggil sebagai pembayaran dividen) dibahagi-bahagikan mengikut peratusan kepada para pemiutang (sekiranya terdapat lebih daripada satu) tanpa mengira siapa yang membuat petisyen bankrapsi.

Menurut Mokhtarudin, perkara yang paling membawa masalah kepadanya untuk menjalankan tugas ialah persepsi bahawa PPH merupakan orang kerajaan yang bertindak untuk mendapatkan hutang bagi pihak pemiutang. Dengan sebab itu, si berhutang biasanya akan melarikan diri sebaik mengetahui bahawa perintah bankrap dikeluarkan terhadapnya.


Gangguan

Bak kata Mokhtarudin: ``Kebanyakan orang Malaysia akan lari kalau dapat perintah bankrap ini, mereka mulalah memindah milik tanah, rumah, kereta kepada kaum keluarga lain - takut dirampas.

``Mereka ingat JPH dan saya ini pemungut hutang untuk bank.''

Tidak ramai yang menyedari bahawa tugas utama PPH ialah melindungi si bankrap daripada gangguan pemiutang. Apa yang berlaku ialah PPH diberi kuasa mencegah pemiutang daripada terus menerus menekan atau mencari atau mengancam si berhutang sepanjang proses kebankrapan itu dilaksanakan.

Pemiutang, tanpa mengira kedudukannya, tidak boleh menyentuh si berhutang selagi beliau dan aset-asetnya berada di bawah PPH. Di situlah terletaknya `keistimewaan' menjadi bankrap.

Sedikit sebanyak, si bankrap sekarang boleh dikatakan sebagai seorang yang untouchable - tidak boleh disentuh oleh sesiapa. PPH mengakui setiap orang tentunya mahu mengelakkan pengisytiharan bankrap kerana tidak ada orang waras yang mahu menjadi seorang muflis, namun ada ketikanya, selepas segala usaha telah dibuat, ia tidak dapat dielakkan lagi dan terpaksa dilaksanakan.

Sehubungan itu, si bankrap seharusnya memandang positif peruntukan dan perlindungan yang diberikan oleh PPH kepadanya. PPH memerlukan kerjasama si bankrap supaya segala proses bagi melangsaikan hutang si bankrap dapat dimulakan secepat mungkin.

Selepas lima tahun ditadbirkan, si bankrap akan diberi pelepasan atau dilucutkan daripada status bankrapnya itu atas budi bicara PPH. Ia bersama syarat bahawa PPH berpuas hati dengan kelakuan dan kerjasama si bankrap sepanjang lima tahun berada di bawah penyeliaan.

Di sini terletak keindahan menjadi seorang bankrap. Menurut Mokhtarudin, seorang bankrap yang sudah dibebaskan juga bebas sebenar-benarnya daripada semua hutang yang ditanggung sebelumnya, ``seperti seorang yang memulakan kehidupan baru tanpa ada hutang sesen pun.''

Sebagai contoh, seorang si berhutang dijadikan bankrap pada tahun 1990 oleh dua buah bank yang menjadi pemiutang kerana tidak mampu membayar pinjaman berjumlah RM5 juta kepada kedua-dua bank.

Si bankrap memberi kerjasama baik kepada PPH dan menyediakan semua maklumat dengan tepat mengenai aset-aset miliknya. PPH dengan itu dapat membuat pentadbiran harta-harta si bankrap dalam tempoh masa yang cepat dan berhasil menjual kesemuanya - sebuah rumah, sebuah kereta dan tiga bidang tanah kebun yang agak kecil - dalam tempoh tiga tahun. Hasil yang diperoleh ialah kira-kira RM300,000 dan ia dibahagi-bahagikan antara kedua-dua bank.

Pelepasan

Pada tahun 1995, PPH yang berpuas hati dengan kelakuan si bankrap yang turut memenuhi semua kriteria yang telah ditetapkan, memberikan pelepasan kepada si bankrap di bawah Seksyen 33A Akta Kebankrapan.

Hasilnya, si bankrap sekarang menjalani kehidupan baru dengan tidak dibebani sebarang hutang. Kedua-dua bank tidak berpuas hati dan membantah tetapi PPH menolak bantahan tersebut kerana undang-undang memperuntukkan kepada si bankrap untuk menjalani kehidupan normal yang bebas hutang selepas beliau menjalani `hukuman'nya.

`Mana ada undang-undang lain yang memberikan pelepasan kepada orang berhutang yang membayar sebahagian kecil sahaja daripada hutangnya? Inilah the beauty of bankruptcy,'' kata Mokhtarudin.

Bagaimanapun, beliau menambah, kesedaran perundangan di negara ini adalah terlalu rendah sehingga tidak ramai yang menyedari keistimewaan bankrapsi. Di negara ini, hanya satu kes dalam setiap 1,000 kes bankrapsi yang melibatkan petisyen yang dipohon oleh si berhutang.

`Di Amerika Syarikat, orang berebut-rebut hendak memohon status bankrap sekiranya betul-betul tidak mampu membayar hutang. Orang kita pula lari,'' kata beliau.

Sebahagian besar daripada mitos yang dikaitkan bersama perintah bankrap itu tidak benar. PPH tidaklah kejam sehingga segala bentuk wang seperti deposit bil air, elektrik dan telefon dirampas.

PPH hanya akan mengambil dan mentadbir apa-apa harta yang cukup untuk membayar hutang yang membuatkan si berhutang itu bankrap sahaja. Jika beliau memiliki hutang sebanyak RM100,000, harta yang diambil adalah setakat RM100,000 sahaja.

Jika si bankrap mempunyai hanya satu rumah, PPH akan menimbangkan supaya rumah itu tidak ditadbir kerana tidak mahu mendatangkan kemudaratan kepada keluarga si bankrap.

PPH juga tidak merampas semua deposit sebaliknya akan menasihatkan misalnya TNB, Telekom atau Jabatan Bekalan Air supaya memindahkan nama kepada isteri atau suami si bankrap kerana adalah menjadi tanggungjawab PPH memastikan si bankrap tidak dibebani sebarang liabiliti tambahan.

Selain JPH mahu memperbaiki tahap kesedaran orang ramai terhadap isu-isu kebankrapan, jabatan itu, pada masa yang sama, cuba untuk memastikan jumlah kes bankrap yang meningkat pada kadar yang membimbangkan iaitu melebihi 10 peratus sejak tahun 1996 dapat dikurangkan.

Dengan itu, satu cadangan dibuat supaya tahap hutang untuk boleh diisytiharkan bankrap dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000.

Menurut Dr. Fatimah Daud dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, hasil kajian menunjukkan lebih 50 peratus daripada mereka yang diisytiharkan bankrap berhutang kurang daripada RM50,000.

Sehingga akhir tahun 2002, terdapat kira-kira 105,336 kes kebankrapan di negara ini dengan 9,886 kes baru dan 3,832 kes diselesaikan.

Peningkatan tahap pengisytiharan bankrap itu dijangka dicadangkan dalam rangka pindaan Akta Kebankrapan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Selaras dengan usaha memperbaiki imej JPH dan pandangan masyarakat terhadap kebankrapan, PPH pada tahun lalu telah melawat setiap negeri dan mengadakan kempen sehari bersama pelanggan untuk memberikan gambaran lebih tepat mengenai fungsi jabatan itu.

Kempen itu diharapkan mencapai matlamatnya dan mendorong para bankrap yang melarikan diri untuk tampil bekerjasama dengan PPH bagi mempercepatkan proses pelepasan mereka.

`JPH bukanlah pemungut hutang bagi pemiutang, lagi pula jika pun mereka diisytiharkan bankrap, nasihat kami ialah; dunia masih belum kiamat.

`Kami akan membantu mereka untuk melihat semula cahaya di hujung terowong,'' kata Mokhtarudin.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews