06 November 2009

Bos Chelsea sayangkan Drogba


DROGBA menjaringkan dua gol pada perlawanan di Stadium Vicente Calderon kelmarin.


LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti tidak akan menukar Didier Drogba dengan mana-mana penyerang di dunia ini.

"Saya tidak berapa pasti sama ada Didier adalah penyerang terbaik di dunia atau tidak tetapi saya tahu satu perkara sahaja... saya mahu mengekalkannya di kelab ini.

"Saya tidak akan menukarnya dengan mana-mana penyerang di dunia," kata Ancelotti.

Selepas digantung tiga perlawanan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Drogba kembali menunjukkan taring sebenarnya apabila meledak dua gol bagi membantu Chelsea seri 2-2 dengan Atletico Madrid awal pagi semalam.

Drogba meledakkan dua gol pada minit ke-82 dan 88, sekali gus menafikan hajat Atletico untuk meraih kemenangan di laman mereka sendiri.

Terdahulu, Sergio Aguero menjaringkan gol pembukaan Atletico pada minit ke-66 sebelum penyerang Argentina itu meledak gol kedua pada masa kecederaan.

"Saya langsung tidak kecewa. Memang tidak bagus apabila bolos pada minit-minit terakhir tetapi ia boleh berlaku," kata Ancelotti.

"Kami kini dalam fasa seterusnya dalam Liga Juara-Juara dan keputusan ini tetap penting kerana ada baki dua lagi perlawanan.

"Ini adalah perlawanan yang sukar kerana Atletico bermain dengan baik dan saya rasa ia juga satu keputusan yang baik.

"Mereka memberi tekanan ke atas kami pada babak pertama, tetapi saya rasa kami tetap melaksanakan tugas dengan baik," kata Ancelotti. - Agensi

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews