15 August 2009

Gadis ditemui mati dengan leher dijerut, tangan diikat

KUANTAN: Mayat seorang gadis dengan lehernya dijerut dengan tali kasut dijumpai di kawasan belukar di KM11 Jalan Genting Highlands-Bentong, dekat Bentong, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata mayat gadis berusia antara 16 dan 24 tahun itu ditemui kira-kira 50 meter dari jalan raya dalam keadaan terlentang dan keduadua tangannya juga diikat dengan tali kasut.

Mayat itu ditemui oleh dua rakyat Indonesia yang mencari buluh di kawasan itu pada kirakira pukul 5.25 petang, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata gadis itu mempunyai ketinggian 153 cm dan ketika ditemui lengkap berpakaian t-shirt putih jenama Polo, seluar jeans lembut berwarna biru, tali pinggang berwarna merah dan biru serta stokin berwarna merah jambu.

"Tiada pengenalan diri ditemui. Ketika ditemui, bahagian pinggang ke atas mangsa sudah reput teruk dipercayai dimakan haiwan," katanya.

Rosli berkata mayat itu dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga sejak kirakira seminggu lepas atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi C/Insp Nazri Nawang di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2222222. -BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews