04 July 2009

Russia tutup pusat perjudian

MOSCOW 1 Julai - Operasi kasino dan pusat perjudian mesin slot di seluruh Rusia
mula ditutup hari ini, apabila pihak berkuasa negara ini menguatkuasakan
undang-undang baru yang lebih tegas sebagai usaha melumpuhkan industri perjudian
di negara tersebut.

Puluhan ribu rakyat dijangka akan hilang pekerjaan berikutan pelaksanaan
undang-undang baru tersebut yang ditandatangani Presiden Vladimir Putin pada
tahun 2006 dalam usaha membanteras ketagihan 'candu judi' dalam masyarakat.

"Mulai pukul 7 petang (11 malam tadi) semalam, semua dewan perjudian mula
ditutup," kata salah satu notis yang dikeluarkan kepada dewan perjudian mesin
slot di selatan Moscow.

Pusat-pusat kasino pula dijangka mengalih operasi atau menukar kegiatan
masing-masing kepada kelab poker, sesuai dengan saranan pegawai undang-undang
Rusia yang mencadangkan permainan poker yang lebih berkonsep kesukanan.

Pelaksanaan undang-undang itu turut menamatkan era kelam kabut apabila ahli
perniagaan dan kegiatan gengster menjadikan kasino-kasino di tengah Moscow bagi
mengaut keuntungan yang luar biasa pada tahun 1990-an.

Tugas khas melaksanakan undang-undang itu telah dikuatkuasakan di ibu kota
Rusia, kata jurucakap kerajaan bagi bandar raya Moscow, Maria Sokolva kepada
agensi berita Ria-Vonosti.

Bermula 1 Julai, kasino di Rusia mungkin hanya boleh beroperasi, jika ia berada
sekurang-kurangnya 1,000 kilometer dan lebih dari Moscow.

Kawasan yang terkenal dengan zon perjudian haram di kalangan rakyat Rusia ialah
di barat Kaliningrad meliputi kawasan sepanjang laut selatan Azov, daerah Altai
di Siberia, dan kawasan yang jauh di pedalaman Primorye, berhampiran utara Korea
dan Jepun.

Tetapi kebanyakan pengusaha industri perjudian sedang berusaha mencari kawasan
baru di sana untuk memindahkan operasi mereka.

Pelaksanaan undang-udang itu akan memberi impak besar kepada Moscow, yang
mempunyai 524 kasino dan dewan perjudian, dan masih terdapat 109 buah lagi
kasino beroperasi di selatan bandar raya Saint Petersburg, sehinggalah
undang-undang itu kuatkuasa. - AFP

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews