19 July 2009

RM20,000 beli suami



KUALA LUMPUR: Tidak perlu bersusah payah memerah tenaga seperti insan lain kerana apa yang perlu dilakukan hanyalah merelakan maruah tergadai, berjanji menyimpan rahsia dan mengambil sisa orang lain demi menutup aib seseorang.

Tidak sampai satu jam, selepas semuanya selesai, dapatlah habuan wang tunai atau barangan termasuk tempat tinggal dan kenderaan .

Begitulah kerja mudah dilakukan individu tertentu yang sanggup merelakan diri menjadi ‘suami segera’ kepada wanita mengandung gara-gara terlanjur.

‘Kerjaya’ yang popular dengan gelaran ‘pak sanggup’ itu didedahkan seorang lelaki yang baru tiga bulan melakukannya.

Mahu dikenali sebagai Salleh Ali, 33, dia mengakui mendapat habuan RM20,000 di atas pekerjaan tidak bermaruah itu.

Salleh berkata, dia pernah mendengar mengenai ‘pak sanggup’ tetapi tidak menyangka terjebak dengan kerja seperti itu.

“Segala-galanya bermula apabila seorang rakan bercerita mengenai hajat seorang lelaki yang mahu mencari sesiapa yang sanggup mengahwini teman wanitanya yang hamil luar nikah hasil perhubungan sulit mereka.

“Lelaki itu sudah berkahwin dan tidak mahu mengahwini wanita itu serta mahu mengelak perhubungan sulit mereka diketahui isterinya. Wanita itu pula mahu melahirkan anak yang dikandungnya,” katanya.

Menurut Salleh, rakannya itu yang juga orang suruhan lelaki terbabit diminta mencari individu yang sanggup mengahwini wanita berkenaan dengan tawaran ganjaran wang tunai RM20,000.

“Saya yang bujang dan bekerja tidak menentu tanpa banyak cakap sanggup menerima tawaran itu. Siapa yang tidak mahu wang sebanyak itu dalam sekelip mata.

“Apatah lagi, saya sememangnya memerlukan wang kerana mahu membayar tunggakan kereta dan hutang along RM10,000,” katanya yang kemudian dibawa berjumpa lelaki itu untuk mengadakan perbincangan.

Tempoh perbincangan hanya mengambil masa dua minggu sebelum majlis pernikahan dijalankan.

Dia dimaklumkan, wanita itu terkantoi kerana keluarganya sudah tahu dia mengandung dan keluarganya mahu keterlanjuran itu diselesaikan dengan perkahwinan.

Katanya, lelaki terbabit yang sememangnya kaki perempuan tidak mahu bertanggungjawab dan mencari orang lain sebagai pak sanggup untuk berkahwin dengan kekasihnya.

“Sebelum ini, apabila teman wanitanya hamil lelaki itu melarikan diri tapi kali ini dia mengugut akan menghebahkan apa yang berlaku jika dia berbuat demikian,” katanya.

Selain itu, wanita terbabit meminta sejumlah wang dan majlis pernikahan ringkas supaya dapat memenuhi kehendak keluarga.

“Saya tidak mahu ambil tahu mengenai masalah mereka, kerana apa yang penting saya dijanjikan wang RM20,000 selepas selesai majlis pernikahan.

“Lelaki itu membawa saya bertemu teman wanitanya dan selepas berbincang, dia menetapkan tarikh untuk kami berkahwin.

“Saya dan wanita itu dibawa ke sebuah rumah. Turut serta keluarganya. Apabila pertama kali bertemu, puas jugalah saya kena herdik dan tidak kurang yang memberi nasihat oleh keluarga wanita itu.

“Saya datang dengan beberapa individu yang berlagak seperti keluarga saya. Semua ‘ahli keluarga’ saya disediakan lelaki itu dan kami hadir seperti orang kaya,” katanya.

Kata Salleh, dia tidak tahu perkahwinannya sah atau tidak kerana jurunikah yang disediakan meragukan.

“Saya hanya ikut perintah saja. Apabila bapa wanita itu melafazkan akad nikah, saya ikut saja. Perasaan takut tetap ada menyebabkan akad nikah terpaksa dilakukan lima kali.

“Saya juga hairan kerana keluarga wanita itu tidak pula banyak soal. Mungkin mereka percaya dengan wanita itu, apatah lagi melihat saya hadir dengan gaya seperti orang kaya,” katanya.

Tidak sampai satu jam, majlis pernikahan selesai dan dia mendapat habuan RM20,000 tunai yang dimasukkan dalam sampul.

“Ikutkan hati, saya mahu melarikan diri, tetapi saya perlu berlakon untuk tempoh beberapa hari. Saya dan wanita itu duduk di kondominium disediakan lelaki terbabit. Keluarga wanita itu turut serta kerana mereka mahu berehat di Kuala Lumpur dua atau tiga hari,” katanya.

Dia turut mengambil kesempatan meniduri wanita itu, namun bukan secara paksaan.

“Lelaki itu tidak kisah saya buat apa dengan teman wanitanya kerana dia mahu meninggalkannya. Wanita itu pun tak kisah saya buat apa kepadanya,” katanya.

Salleh berkata, dia hanya tinggal bersama wanita itu selama seminggu sebelum menghilangkan diri.

“Wanita itu tidak pula menghalang. Sehingga hari ini saya tidak tahu apa nasibnya dan saya tidak lagi bertemu lelaki itu,” katanya.

Ditanya apa yang dibuat dengan wang RM20,000 itu, Salleh tersenyum sambil memberitahu, RM10,000 untuk langsaikan hutang termasuk hutang along dan selebihnya ‘enjoy’!

Melihat ganjaran lumayan, dia bersedia untuk menjadi ‘pak sanggup’ lagi kepada pasangan kekasih yang terlanjur tetapi enggan kahwin.

“Sekarang, saya banyak melepak, dengan harapan dapat lagi tawaran jadi ‘pak sanggup’. Kerja pula ikut suka. Rasa nak datang, saya datang. Kalau tidak ponteng saja. Saya tak risau sebab wang masih ada ribuan ringgit lagi dan mungkin dapat rezeki jadi ‘pak sanggup’ lagi,” katanya.

credit - mymetro

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews