16 July 2009

Remp-It V3 diharamkan - Farid Kamil kecewa



PADA awalnya, pelakon berbakat besar ini akui cukup teruja menantikan filem sulung arahannya, Remp-It V3 ditayangkan di pawagam kelak.

Bukan selalu dia diberi peluang untuk menjadi seorang pengarah, dan lantaran itu, Farid Kamil cukup teliti akan produk sulungnya itu untuk memastikan kepercayaan yang diberikan oleh penerbitnya, David Teo tidak disia-siakan begitu saja.

Namun, impian jejaka berusia 27 tahun ini untuk melihat respon penonton terhadap filem aksi yang memaparkan tentang lumba haram itu mungkin tidak kesampaian.

Dalam nada kecewa, Farid yang ditemui di lokasi penggambaran klip video lagu tema filem Estet di Sungai Buloh semalam, berkata, pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak membenarkan filem tersebut ditayangkan kerana paparan visual lumba haram yang banyak.

"Kami hantar filem itu untuk dinilai kira-kira dua minggu lalu. Sejujurnya, saya memang sudah rasa tidak sedap hati sebelum itu.

"Pada hari yang sama juga, keputusan tersebut diperolehi dan saya memang amat terkejut serta kecewa apabila mendapat tahu filem ini tidak boleh ditayangkan.

"Menurut mereka, sekarang ini ada undang-undang baru yang tidak membenarkan visual aksi lumba haram serta dialog yang berkaitan dimasukkan di dalam filem. Tambahan pula, filem itu menampilkan kira-kira 60 peratus tentang lumba haram.

"Saya cuba yakinkan pihak berkenaan bahawa filem ini mempunyai mesej tertentu yang ingin disampaikan, tetapi nampaknya mereka tidak dapat terima alasan itu. Saya sedih sebenarnya filem ini disalahertikan.

"Lagipun, sewaktu filem ini ingin memulakan penggambaran dulu, kita sudah mendapat kelulusan LPF serta pihak-pihak tertentu.

"Bila jadi macam ni, mestilah saya kecewa, apatah lagi setelah bertungkus-lumus untuk menyiapkannya," kata Farid dalam nada perlahan.

Selain bertindak selaku pengarah, Remp-It V3 yang merupakan filem terbitan Metrowealth Movies Production (MMP) ini turut menyaksikan Farid sebagai penulis skrip bersama Shoffi Jikan serta sebagai pelakon utamanya.

Turut membintangi filem yang sudah selesai menjalani penggambaran awal tahun ini ialah Lisa Surihani, Bront Palarae, Aqasha, Intan Ladyana dan Radhi OAG.

Remp-It V3 memaparkan kisah Rudy (Farid Kamil) dan sahabatnya Brett (Bront Palarae) yang terjerumus dalam satu masalah besar apabila dia dan kawan-kawannya berlumba sehingga mengakibatkan kematian pasangan kekasih Shah dan Liza yang terlibat dalam kemalangan.

Lebih memburukkan keadaan, di tangan Shah terdapat dadah yang baru diambil. Rudy, Brett dan kawan-kawannya menjadi buruan polis, sehingga terpaksa mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, Rudy berazam mengubah kehidupannya. Brett yang ingin membantu telah menemukan Rudy dengan Lan Ribut (Radhi OAG) lalu dibawa ke kedai Sam Seng Motor yang sebenarnya dikawal oleh Ah Long yang merupakan 'tycoon' pertaruhan lumba haram.

Konflik semakin berlarutan apabila Rudy terlibat pula dengan perlumbaan haram bersama Garing (Aqasha) yang kemudiannya menjadi besar apabila Rudy gagal membayar hutang Garing setelah tewas perlumbaan itu.

Menurut Farid lagi, pihak Metrowealth ada membuat rayuan supaya filem ini dapat dilepaskan untuk tayangan. Namun, ketika ini, belum ada keputusan tentang perkara itu.

"Rayuan pertama yang dibuat telah ditolak. Pihak Metrowealth masih cuba membuat rayuan, tetapi saya sendiri tidak pasti macam mana nasib filem itu...mungkin juga akan ditayangkan kelak, tetapi tak tahulah.

"David Teo bagaimanapun memahami hal ini dan minta saya bersabar. Apa yang boleh saya katakan, saya memang benar-benar sedih. Kalau nak buat semula pun, tak tahulah macam mana untuk diubah," tutur Farid yang pernah memenangi Anugerah Bakat Seni Filem bagi kategori filem sempena Anugerah Seni Negara, tidak lama dulu.

Ditanya bagaimana penerimaan pelakon-pelakon lain di dalam filem tersebut, kata Farid, ketika ini hanya Bront yang mengetahui tentang perkara itu.

"Saya belum sempat beritahu pelakon-pelakon lain. Lagipun, sejak saya mengetahui filem ini tidak diluluskan, saya tidak mahu fikirkan sangat tentangnya sebab jika terus difikirkan, saya akan lebih kecewa.

"David ada juga beritahu saya, jika saya sudah kembali 'tenang' nanti dan bersedia untuk kembali mengarah filem lain, dia minta saya terus hubunginya," ujar Farid yang turut menulis skrip filem Rempit yang diarahkan oleh Ahmad Idham, kira-kira tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Promosi Metrowealth, Azahari Abdul Hamid turut mengesahkan tentang hal itu.

Namun, katanya, pihak mereka masih lagi menantikan keputusan rayuan yang sedang dibuat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sama ada filem itu diharamkan atau pun tidak.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews