13 July 2009

Pegawai JAIS akui kesilapan pertuduhan khalwat Norman-Memey

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini, hari ini diberitahu bahawa pertuduhan berkhalwat terhadap pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey tahun lalu adalah salah dan tidak berasaskan fakta.

Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs), Abdul Rahman Lai Abdullah mengakui pertuduhan itu tidak betul kerana Norman tidak ditemui pada 3 pagi dalam premis yang sama seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Abdul Rahman memberikan keterangannya sebagai sebagai saksi pertama pendakwaan bagi kes itu.

Peguambela syarie Norman-Memey, Fakhrul Azman Abu Hassan telah menyoal Abdul Rahman dalam sesi soal jawab hari ini.

Fakhrul: Kalau ikut maklumat yang diterima daripada pengadu, berdasarkan fakta, maklumat itu palsu, adakah anda bersetuju atau tidak maklumat itu palsu?

Abdul Rahman: Betul tiada lelaki semasa kami jumpa tertuduh perempuan (Memey), tetapi saya tidak setuju mengatakan maklumat itu salah.

Fakhrul: Setuju atau tidak jika saya katakan aduan yang awak terima ini hanyalah 'hearsay' ataupun dengar cakap sahaja?

Abdul Rahman: Ya, betul.

Fakhrul: Berdasarkan keterangan awak, awak mengatakan telah menjumpai tertuduh lelaki (Norman) pada pukul 3.00 pagi, sedangkan tertuduh lelaki tiada di premis di tingkat bawah bersama tertuduh perempuan (Memey), jadi boleh saya katakan yang pertuduhan ini adalah salah?

Abdul Rahman: Ya, betul.

Bagaimanapun perbicaraan ini telah ditangguhkan ke tarikh 31 Julai nanti berikutan waktu yang tidak mencukupi.

Norman kelihatan berkot warna putih dan bersongkok sementara Memey memakai baju warna merah dan berseluar hitam hadir pagi ini ditemani peguambela mereka Fakhrul Azman Abu Hassan.

Pasangan Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan pelakon baru Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi pada 30 Oktober 2008

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Norman dan Memey berkata mereka dinasihatkan agar tidak memberi sebarang komen oleh peguambela mereka.

"Saya berharap ia akan berakhir dengan baik kerana masa akan datang akan menjadi lebih baik dari hari ini." kata Norman.

Memey pula berharap apa yang telah berlaku ke atas dirinya akan berakhir dengan cepat.

Kedua-dua pelakon ini juga mengucapkan terima kasih dan bersyukur terhadap rezeki yang Tuhan beri kepada mereka walaupun kes mereka masih dibicarakan.

Ini kerana menurut mereka, mereka masih lagi menerima tawaran berlakon.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews