22 July 2009

Pasukan Marin tahan lima lanun

JOHOR BAHARU: Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua menahan lima lanun yang merompak sebuah kapal dan menyelamatkan 15 anak kapal serta kaptennya di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, awal hari ini.

Komander Pasukan Gerakan Marin Datuk Isa Munir berkata serbuan terhadap kapal PNG Express yang sedang berlabuh di kedudukan 2.7 batu nautika selatan Tanjung Setapa itu dibuat pada pukul 3.35 pagi selepas anggotanya menerima maklumat mengenai kejadian rompakan itu.

"Rompakan itu dilakukan oleh enam lanun yang dipercayai rakyat Indonesia, seorang daripada mereka melarikan diri dengan terjun ke laut ketika berlaku pergelutan dengan anggota Gerakan Marin," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Isa berkata pihaknya menemui kesemua 15 anak kapal dan kapten yang diikat di dalam sebuah bilik dan merampas empat parang, empat topeng, pasport, sejumlah wang tunai, sebuah komputer riba, teropong dan lima telefon bimbit.

Beliau berkata siasatan awal tidak menolak kemungkinan kumpulan itu adalah kumpulan sama yang terlibat dalam beberapa kes rompakan kapal sebelum ini.

Kesemua lelaki berusia 17 hingga 41 tahun itu, katanya dibawa ke Markas Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua untuk tindakan lanjut. BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews