13 July 2009

Kerbau mengamuk

SUNGAI PETANI: “Saya berasa seperti dirempuh ‘bulldozer’ berkali-kali ketika ditolak apabila rebah di atas tanah dan haiwan itu juga menjulang saya dua kali dengan tanduknya, menyebabkan saya terbayang kematian,” kata D Krishnan, 60, yang diserang seekor kerbau liar yang ‘naik minyak’ ketika meninjau ladang kepala sawit di Bedong, dekat sini, pagi kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di Ladang Kelapa Sawit Sungai Tok Pawang, Krishnan bernasib baik apabila kerbau itu berhenti menyerangnya selepas dia berpura-pura mati seperti diarah pengurus ladang, Siah Cheng San, 47.

Krishnan yang juga kerani di ladang itu berkata, ketika kejadian, dia berjalan di depan manakala Siah ada di belakangnya untuk meninjau sebuah kawasan padang di dalam ladang kepala sawit berkenaan.

Menurutnya, mereka tidak melihat kerbau liar ada di kawasan itu apabila tiba-tiba terdengar bunyi dengusan dari semak berhampiran.

Katanya, tiba-tiba seekor kerbau besar dianggarkan seberat dua tan keluar dari semak dan meluru laju ke arahnya, menyebabkan dia tidak berupaya mengelak dan hanya sempat memegang kedua tanduk haiwan berkenaan sebelum dijulang dua kali ke atas.

“Siah cuba membantu dengan turut memegang tanduk kerbau itu tetapi gagal kerana haiwan itu terlalu kuat sebelum dia sendiri terpelanting akibat dihumban kerbau itu.

“Selepas dua kali dijulang, saya jatuh ke tanah dan tidak boleh bergerak kerana cedera teruk di lengan kiri dan seluruh tubuh, terutama kaki, dipijak oleh kerbau itu.

“Tiba-tiba kerbau itu sekali lagi menyerang saya yang ketika itu terbaring dan menolak saya dengan tanduknya seperti ‘bulldozer’ sejauh 20 meter hingga ke tepi semak,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta, semalam.

Menurutnya, Siah ketika itu juga hanya mampu melihat kerana turut cedera teruk sambil menjerit supaya dia berpura-pura mati bagi mengelak kerbau berkenaan berasa mereka terus mengancam anaknya.

“Tindakan itu berkesan kerana kerbau itu secara tiba-tiba mendapatkan anaknya dan beredar, menyebabkan saya berasa cukup lega sebelum dihampiri Siah,” katanya.

Kishnan berkata, itu kali pertama dia diserang sejak bekerja di ladang berkenaan lebih 30 tahun lalu walaupun ada lebih 100 kerbau liar di situ.

Sementara itu, Siah berkata, dia tidak dapat menyelamatkan Krishnan kerana lengan dan kaki kirinya terkena tusukan tanduk kerbau hingga tidak bermaya.

“Sebaik kerbau itu beredar, kami terpaksa bergerak kira-kira 100 meter sebelum telefon bimbit saya mendapat talian dan memaklumkan kejadian itu kepada pejabat dan isteri supaya mereka menghantar bantuan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews