20 July 2009

Kementerian tidak akan bayar ganti rugi kepada pengeluar filem

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan tidak akan membayar ganti rugi kepada syarikat pengeluar filem atau pengeluar drama tempatan yang merakam adegan lumba haram atau aksi mat rempit untuk produksi mereka.

Timbalan menteri berkenaan Heng Seai Kie berkata ini kerana perkara itu di luar bidang kuasa dan bukan berada di bawah tanggungjawab kementerian.

"Budaya lumba haram atau mat rempit tidak harus digalakkan kerana ia akan merosakkan nilai-nilai murni dan moral masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perpustakaan Digital Kelima dan Katalog Induk Kebangsaan (KIK) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar Sabtu lepas yang menyebut kerajaan mungkin mengharamkan filem atau drama Malaysia yang memaparkan aksi lumba haram atau mat rempit.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika mengulas perkara itu berkata sehingga kini tidak ada peraturan atau garis panduan baru dikeluarkan oleh kerajaan untuk mengharamkan filem atau drama seumpama itu ditayangkan di negara ini walaupun kerajaan komited membanteras kegiatan itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kewujudan pelbagai pusat hiburan yang mengundang masalah sosial seperti kelab gay dan kelab yang menawarkan perkhidmatan pegawai perhubungan pelanggan (GRO), Heng berkata kementerian tidak bersetuju dengan perkembangan itu.

"Saya percaya tanggungjawab kementerian untuk menyekat aktiviti seumpama ini adalah melalui pendidikan menerusi televisyen dan radio untuk sama-sama tingkatkan kesedaran bahawa budaya ini amat tidak sihat," katanya.

Sabtu lepas, sebuah kelab gay yang menjadi tumpuan lelaki yang mempunyai keinginan pada kaum sejenis terutama pada hujung minggu diserbu polis dalam satu operasi di Jalan Yap Kwan Seng.

Dalam serbuan pada pukul 1.30 pagi itu, polis mendapati lebih 500 pengunjung majoritinya lelaki sedang asyik menari, malah ada yang bercumbu dan membuat aksi mengghairahkan. BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews