13 July 2009

BMW325i Convertible

KERETA buatan Jerman mempunyai keistimewaan dan peminat tersendiri, malah kehadirannya di jalan raya sering memukau pandangan pemandu lain.

KERETA buatan Jerman mempunyai keistimewaan dan peminat tersendiri, malah kehadirannya di jalan raya sering memukau pandangan pemandu lain.

Peluang memandu uji buah tangan terbaru, BMW 325i Convertible menjawab persoalan mengapa jenama berkenaan sentiasa menjadi idaman.

Model terbaru ini bukan berada dalam kelasnya tersendiri, malah penukaran 'wajah' daripada sebuah kereta sedan kepada Convertible memang memukau.

Pastinya keunikan model ini terletak pada bahagian bumbung yang boleh dibuka secara automatik dalam masa cuma kira-kira 20 saat.

Bagaimanapun, bumbung jentera terbaru itu hanya boleh dibongkar ketika kereta berhenti atas faktor keselamatan.

Proses transformasi itu dikhuatiri mengganggu pandangan belakang selain mematuhi piawaian ketat pengeluar kenderaan di Eropah bagi jentera Convertible.

Model ini dijana enjin 2.5L enam silinder pacuan roda belakang menjadikan kuasa yang dibekalkan cukup membuatkan penulis tidak mahu melepaskan pedal minyak apabila wujud ruang kosong di jalan raya.

Malah, sistem transmisi automatik Steptronic enam kelajuan dengan pilihan mod manual yang boleh dikawal melalui tuil gear di belakang stereng seperti jentera Formula Satu (F1) menjadikannya pemanduan lebih menyeronokkan.

Tidak dinafikan kuasa dan kawalan pemanduan hasil kejuruteraan BMW memang terbaik termasuk ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Pacuan roda belakang di samping saiz tayar lebar (225/45R17) menjadikan jentera seolah-olah 'melekat' di jalan raya.

Memandu dalam keadaan bumbung terbuka memang satu pengalaman baru, tambahan pula kereta yang dibawa berjenama mewah.

Situasi berkenaan lebih berbaloi apabila dilakukan pada waktu malam dan memandu di lebuh raya atau sekitar ibu kota dengan kelajuan sederhana.

Tetapi awas, pastikan barang berharga diletakkan pada lokasi agak tersorok kerana 'orang luar' lebih mudah menerjah masuk terutama ketika berhenti di lampu isyarat.

Ruang dalamannya disaluti kulit mewah coklat dan bahagian belakang cukup luas, tetapi hanya boleh memuatkan dua penumpang sahaja.

Ini kerana pada bahagian tengah terdapat konsol meletakkan barang peribadi dan minuman.

Bagi model ini, BMW sudah melengkapkannya dengan teknologi i-Drive di mana pemandu boleh mengawal sistem audio, navigasi dan telefon dengan menekan satu butang khas.

Satu lagi keistimewaan BMW 325i Convertible ialah sistem meletak kenderaannya yang dipanggil Park Distance Control yang mempunyai sensor pengesan jarak di bahagian depan dan belakang kereta ini.

Kesimpulannya, BMW325i Convertible adalah sebuah kereta yang bergaya dan dengan harga sekitar RM439,800 (tanpa insuran) tidak mustahil ia sukar kelihatan di jalan raya.

Hanya mereka yang benar-benar berduit dan mahukan kenderaan dengan gaya tersendiri mampu memilikinya.



SPESIFIKASI

BMW325i Convertible

ENJIN: 2,497cc Enam Silinder

KUASA MAKSIMUM: 218 hp pada 6,500 rpm

TORK MAKSIMUM: 250Nm pada 2,750 rpm

TRANSMISI: Enam kelajuan Steptronic

CIRI KESELAMATAN: Beg Udara, ABS, DSC, DTC

HARGA: RM439,800 (tidak termasuk insuran)

Tayar dicadangkan: ContiSportContact3


0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews