30 June 2009

Wanita rendam bayi sampai mati


KUANTAN 29 Jun – Jika haiwan sanggup bergadai nyawa untuk melindungi anaknya,
lain pula yang berlaku kepada seorang wanita di sini.

Tidak diketahui ke mana hilang sifat keibuan wanita itu sehingga tergamak
membunuh bayi sendiri.

Puncanya hanya kerana si ibu dikatakan tertekan dengan teman lelaki sehingga
nekad merendam bayi perempuannya yang baru dilahirkan ke dalam baldi cat di
sebuah rumah sewa di Wisma Bola Sepak, Jalan Gambut.

Wanita berusia 26 tahun dan berasal dari Felda Keratong, Muadzam Shah dekat
Rompin itu dipercayai baru dua hari menyewa bilik di wisma tersebut bersama
seorang kenalan wanita untuk mencari kerja.

Mujurlah kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 pagi itu disedari oleh beberapa
penghuni rumah sewa yang terdengar tangisan bayi dari dalam tandas di wisma itu.

Wanita itu pada mulanya enggan membuka pintu walaupun didesak. Dia sebaliknya
hanya berbuat demikian setelah kira-kira sejam. Itupun selepas bunyi tangisan
bayinya yang terendam dalam baldi cat berisi air bersama tali pusat, tidak
kedengaran lagi.

Wanita itu hanya menangis tanpa henti. Keadaannya tidak bermaya dengan darah
berlumuran di tubuh dan lantai tandas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Pemangku Supritendan Zulkifli Taha berkata,
siasatan pihaknya percaya suspek bertindak demikian kerana mengalami masalah
dengan teman lelakinya.

"Suspek dipercayai merahsiakan dirinya mengandung dan hanya mengatakan sakit
perut kepada rakan-rakan ketika hendak melahirkan anaknya itu," katanya pada
sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat bayi malang itu dan ibunya dibawa ke Hospital Tengku
Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapat rawatan.

"Pihak hospital mengesahkan bayi itu meninggal dunia antara pukul 6 dan 7.30
pagi akibat lemas. Polis akan menahan wanita terbabit untuk membantu siasatan,"
jelasnya.

Tambah beliau, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan
kerana membunuh anak.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews