26 June 2009

Pembantu rumah Islam untuk keluarga Muslim

SHAH ALAM - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) meminta kerajaan menetapkan peraturan
supaya pembantu rumah beragama Islam dari Indonesia atau negara lain hanya
dibenarkan bekerja bagi keluarga Islam dan keluarga bukan Islam hanya dibenarkan
mengambil pembantu rumah bukan Islam sahaja.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, perkara itu beberapa kali disarankan DPPP dan
beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sebelum ini bagi memastikan isu
penafian hak seperti dilarang bersolat dan berpuasa, tidak mendapat makanan
halal, tempat tinggal yang selesa dan bersih dan gaji berpatutan dapat
diselesaikan.

"Kerajaan perlu menerima pandangan yang sekian lama disarankan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dan umat Islam negara ini. Jika mereka (majikan) bukan Islam
ingin mengambil pembantu rumah, mereka bolehlah mengambil pembantu rumah bukan
Islam," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Nasrudin berkata, jika masalah ini tidak diselesaikan, ia boleh mendorong
menimbulkan konflik agama juga mengundang masalah hubungan antara kedua–dua
negara, khususnya Indonesia yang jelas kecewa terhadap layanan yang diberikan
kepada rakyatnya.

Awal bulan lalu, seorang pembantu rumah Indonesia, Siti Hajar, 33, dijirus air
panas dan diberi makan nasi kosong berlaukkan daging babi oleh majikannya.

Penyeksaan yang ditanggung mangsa selama dua tahun 10 bulan itu, akhirnya
terbongkar apabila dia berjaya melarikan diri pada jam 1 pagi dari kondominium
majikannya di Bukit Kiara dan menaiki teksi ke Kedutaan Besar Republik Indonesia
sebelum membuat laporan kira-kira pukul 8.30 pagi.

Beberapa kes penderaan pembantu rumah Indonesia yang berlaku juga mendorong
Menteri Tenaga Manusia dan Transmigrasi Indonesia, Erman Suparno mencadangkan
menghentikan penghantaran pembantu rumah dari Indonesia ke Malaysia buat
sementara waktu.

Nasruddin berkata, kerajaan harus berasa malu jika umat Islam daripada negara
itu diperakukan sedemikian tanpa sebarang tindakan serius.

"Dewan Pemuda Pas mendesak agar kerajaan memberi hukuman yang berat terhadap
majikan yang cuai ataupun sengaja mendatangkan kecederaan fizikal, mental dan
akidah kepada pembantu rumah Islam," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews