22 June 2009

Ibu tunggal dipukau `doktor' baru dikenali

KUALA LUMPUR: Bermodalkan perwatakan sopan dan bijak bermain kata, seorang
lelaki menyamar sebagai doktor memukau seorang ibu tunggal sebelum melarikan
pelbagai barang berharga milik mangsa.

Wanita berusia 40-an dan mempunyai empat anak itu kini trauma dipercayai akibat
dipukau `doktor' berusia 30-an itu selepas mereka bertemu ketika berjoging di
sebuah taman di Setapak di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Menurut seorang anak mangsa yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian Khamis
lalu, ibunya ke taman berkenaan untuk berjoging dikatakan singgah di gerai
menjual kuih milik rakannya di kawasan itu untuk berehat sebelum disapa lelaki
berkenaan.

"Lelaki terbabit secara tiba-tiba bertanya ibu saya sama ada mengenali dirinya
atau tidak," katanya di sini, semalam.

Mangsa yang tidak curiga dengan suspek kemudian menjawab tidak mengenali lelaki
terbabit sebelum lelaki itu menawarkan khidmat untuk menghantar wanita itu
pulang ke rumahnya yang berhampiran.

Disebabkan gaya tutur sopan dan pemakaian kemas, selain memperkenalkan diri
sebagai doktor, ibunya tidak menolak pelawaan itu.

Ketika pulang, anak mangsa yang ketika itu sedang bersiap untuk pergi bekerja
terkejut dengan kelakuan ibunya dalam keadaan kelam-kabut selepas pulang
berjoging.

Menurutnya, apabila ditanya ibunya hanya menjawab ada urusan bersama rakan
barunya itu.

Bagaimanapun, wanita itu hanya tersedar pada tengah hari bersendirian dengan beg
tangannya tiada di sebuah restoran di sebuah kompleks beli-belah di Kepong di
sini, sebelum menghubungi anaknya.

"Orang ramai yang mengetahui kejadian malang menimpanya membantunya membawa ke
balai polis berhampiran," katanya.

Difahamkan, selain mengambil barang berharga, termasuk wang tunai dan barang
kemas, suspek dikatakan mengarahkan mangsa mengeluarkan wang berjumlah hampir
RM1,000 di bank.

0 comments:

Post a Comment

 

Total Pageviews